Friday, October 16, 2009

INILAH garapanku yang penuh dengan kelemahan. Harap tidak ada yang sakit hati membacanya. Bimbang jika rasa menyampah khalayak menjelma bila mengahadamnya. Inilah hasil pertamaku. Harapnya selepas ini langkah ku semakin matang. Terimalah
"KERANA INDAHNYA PENCAK TARI TUAH"
TUAH masih lagi tercatuk di kerusi itu. Berat hatinya mahu menganggkat punggung beredar dari situ. Matanya dibiarkan merayap melihat pelajar yang lalu lalang. Ada yang terkocoh-kocoh jalannya. Mungkin sudah lewat ke kelas. Ada yang memikul beg. Ada juga yang menyandang. Malah ada yang hanya berjalan tangan kosong. Tuah mengeluh perlahan. Dia menyandarkan batang tubuh gagahnya ke kerusi.
“Kenapa awak yang perlu susah-susah menegur saya? Ini hak saya. Saya bukan jenis manusia yang hipokrit. Lebih baik pamerkan diri kita yang sebenarnya. Itu yang lebih baik”
Tuah tergaman. Mulut bagai terkunci. Bicaranya hilang. Petah bicara lenyap seketika. Perlahan-lahan dia menarik nafas. Dihembuskan perlahan-lahan. Dia cuba sedaya upaya menenangkan diri.
“Saya sayangkan awak”
“Sayang???” Pantas Diana memotong tuturnya sambil mencebikkan muka. Tuah mahu tertawa melihat keletah gadis manis di hadapannya. Dengan dua lesung pipit di wajahnya. Senyuman Diana sungguh ayu sekali bila bibirnya menguntum senyuman. Tapi Tuah menahan rasanya itu. Mahu berlagak prosesional di hadapan gadis itu. Tidak mahu dia tewas pada gadis lincah itu.
“Iyeala,kerana sayangkan Diana saya buat macam ini. Saya tidak mahu Diana menyesal di hari kemudian. Kita ini beragama, hidup berpanduan. Bukannya mengatur arah sendiri tanpa halanya” Tuah mengagahkan diri menuturkan kata-kata itu. Walaupun dia sedar, dia bukanlah orang yang paling layak untuk diajak berbicara persoalan agama. Apatah lagi menjadi mualim. Mengajar kepada yang dahagakan ilmu. Mata Diana bersinar-sinar memandang Tuah. Galak mata itu menatap batang tubuh Tuah. Diana tahu. Tuah memang mengambil berat mengenainya. Tapi dia tidak mampu lagi menjadi seperti apa yang Tuah inginkan. Belum tiba lagi masanya.
“Hei, lama tunggu” Tuah tersentak. Bayangan galak mata Diana itu hilang serta merta. Dia tersentak. Senyuman yang terukir di wajah Farid itu sedikit sebanyak menenangkan amarahnya.
“Kau ni buat aku terkejut aje. Kalau ada sakit jantung macam mana? Dah lama aku pergi. Tinggallah kau terkulat-kulat seorang diri” Tuah mengomel sambil mencapai buku yang tersusun di sebelahnya. Perlahan-lahan dia mengatur langkah mengikut sahaja ke mana Farid melangkah. Mata fikirnya masih lagi teringatkan Diana. Gadis yang telah mencuri hatinya. Kembang dadanya bila dapat berbicara dengan Diana walau hanya seketika cuma. Tapi gadis itu agak terbuka sedikit pemikirannya. Gaya pemakaiaan pun sudah agak kebaratan. Jarang benar dia berbaju kurung. Lebih banyak berseluar jean sahaja. Tudungnya entah ke mana. Hatinya telah tekad untuk mendekati gadis itu. Jika bukan dia hanya cuba merubah keadaan. Siapa lagi yang akan merubahnya? Hidup ini jangan terlalu banyak menghukum. Kita perlu lebih banyak membantu, membina. Itu yang lebih afdal.
“Mesti ada sebabnya kenapa kau berkelakuan begitu Diana. Aku cukup yakin di sebalik kabus itu ada bukitnya. Hanya hilang sementara sahaja. Terlindung di bayangan kabus. Aku rasa kau juga begitu. Aku akan terus mendekati mu Diana. Ini Tuah. Tuah tidak pernah kenal putus asa. Semangat juangnya tinggi” Tuah mengukir senyuman seorang diri. Farid hanya menggeleng-gelengkan kepala melihat telatah sahabatnya itu. Belakangan kini sering sahaja dia melihat sahabatnya itu asyik termenung. Barangkali hanyut dalam dunia yang dia cipta sendiri. Dia tidak mahu bertanya. Nanti dikatakan penyibuk pula. Bimbang dianggap busy body.
Malam itu Tuah tidak dapat menumpukan perhatian ketika mengulangkaji pelajaran. Sudah berkali-kali buku itu dibaca. Tapi gagal. Dia masih tidak dapat menumpukan perhatian. Daya kosentarasinya hilang. Entah kenapa malam itu dia gelisah sekali. Bagaikan semuanya tidak kena. Dilemparnya buku Introducing Social Theory karangan Pip Jones ke meja. Dia sudah betul-betul hilang perhatian. Mata fikirnya terkenangkan sekeping surat yang terselit di celah bukunya. Surat itu cukup memberi bekas kepada jiwanya. Diambilnya kembali surat itu. Ditatap berkali-kali.
Salam,
Diana tahu Tuah cuba mengubah Diana. Siapa tidak mahu menjadi perempuan yang menjadi idaman setiap lelaki Tuah? Siapa? Semua insan yang bergelar perempuan mahu menjadi sebegitu. Tapi Diana….Tidak secerah mereka nasib Diana. Diana keliru Tuah. Betul-betul keliru. Diana sudah lama mahu menjadi seperti insan lain. Menenpuh hari-hari bahagia bersama teman-teman seperjuangan. Diana tidak mampu berbuat begitu Tuah. Diana tidak mampu. Hanya luaran sahaja Diana gembira, walhal hakikatnya, jiwa Diana kosong. Tidak ada apa-apa. Diana bukan tidak mahu menerima tautan kasih Tuah. Diana tahu Tuah cuba merobohkan benteng ego Diana ini. Hati kecil ini selalu sahaja menjerit meronta-meronta mahu menerima lambaian kasih Tuah. Tapi….Diana kabur. Tidak berupaya. Status diri ini menjadi penghalang. Diana tidak mahu Tuah turut terheret sama menerima hinaan kerana diri Diana. Tuah tidak bersalah. Tidak sanggup Diana biarkan Tuah dihina kerana diri ini. Lantas Diana mengambil keputusan untuk menulis warkah ini buat Tuah. Mulut ini terkunci bila berdepan dengan Tuah. Tidak mampu lidah ini bertutur untuk mengkhabarkan perihal sebenar diri Diana. Diana menerima apa sahaja pandangan Tuah tentang diri ini. Diana cuba elakkan diri daripada Tuah kerana Diana anak luar nikah Tuah. Anak tidak sah taraf.
Yang derita,
Diana
Tuah mengenggam erat surat itu. Diramas-ramasnya warkah itu. Lalu dibaling ke dalam tong sampah yang sememangnya selalu tersedia dalam bilik. Pantang dia membuang sampah merata-rata. Matanya berpinar. Amarah dalam dadanya mengunung. Dia masih lagi tidak dapat menerima kenyataan yang sememangnya merupakan satu realiti yang agak sukar untuk ditelan. Tangannya terasa pijar. Tanpa sedar dia telah menumbuk dinding bilik itu. Tanpa sedar dia bertindak demikian.
“Aku Tuah. Tuah yang punya semangat kental. Gigihnya tidak terlawan. Mana mungkin aku tewas dalam perjuangan yang aku sendiri rancangankan tapak langkahnya. Tidak mungkin aku berundur” Tuah menekup muka. Lama ditekup mukanya itu.
“Kau mahu bertemankan perempuan yang jijik itu? Dia tidak layak buat kau. Tak sesuai. Tinggalkan dia. Carilah orang lain” Tuah tersentak.
“Jahanam kau. Jangan ganggu aku. Pergi. Pergi dari sini. Pergi”
“Kau takut dengar realitinya kan. Ha…ha…ha…kau penakut. Kalau dah takut terima realitinya. Tinggalkan aje perempuan itu. Darahnya kotor. Darah kau suci. Darah kotor dan suci mana boleh bersama. Penaka minyak dengan air. Kau tahu tak?” Suara itu semakin kuat mengilai. Tuah pantas bingkas.
“Celaka kau”
Tuah beristigfar panjang. Memohon keampunan dari Ilahi. Mungkin kerana dirinya lalai bisikan itu datang. Dia tahu. Cukup tahu. Itu bisikan syaitan yang sering sahaja mahu merosak dan melumpuhkan iman anak Adam. Itula kerjanya. Mulutnya terkumat kamit membaca doa-doa pelindung diri yang dipelajari daripada ayahnya. Seorang mahaguru silat di kampungnya. Dia berpaling menghadap kiblat. Lantas membaca bismilah tujuh, kemudian disusuli selawat syifa`. Barulah jiwanya terasa tenang. Dirasakan akalnya sudah kembali normal. Sudah dapat menilai secara rasional. Kau tidak bersalah Diana. Bukan salah kau. Kau hanya mangsa keadaan yang terhimpit dicelah-celah kekangan yang mendesak kau menjadi seorang pesalah yang menerima hukuman angkara onar orang lain. Orang lain yang enak menjamah nangka, kau pula yang terkena getahnya. Kalau semua orang masih berfikir dengan dangkal, bagaimana orang seperti kau mahu meneruskan kehidupan. Kalau itulah stigmanya. Kau akan merana dalam dunia yang kejam ini. Aku takkan biarkan kau hanyut dalam pemikiran kabur masyarakat itu.
Diana berhenti tepat di hadapan Tuah. Dia melihat Tuah asyik menatap lembaran bukunya. Lantas dia cuba memecahkan kesunyian itu dengan memberikan salam. Lembut sahaja suaranya. Lancar sahaja dia memberikan salam. Pembacaan Tuah terhenti seketika. Pantas dia menyambut salam itu sambil mengukirkan senyuman. Diana membalas senyuman itu. Manis sekali senyuman dengan dua lesung pipit menghias pipi. Mata Tuah lantas menikam batang tubuh gadis lincah itu. Ada suatu yang menarik. Ya, sememangnya menarik. Batang tubuh itu tidak lagi dibaluti oleh jean yang sendat dan baju yang ketat. Sekarang batang tubuh itu dilitupi sepasang kurung biru. Cantik sekali. Hati Tuah sedikit bersorak girang.
“Cantik awak hari ini” Tuah memulakan bicara. Memecahkan ruang-ruang sepi setelah masing-masing membisu. Terdiam seketika.
“Terima kasih. Semuanya kerana kegigihan Tuah. Tuah yang cukup hebat”
“Bukan saya yang hebat, saya hanya penyampai sahaja. Tidak lebih daripada itu. Yang Esa yang menentukan segala. Sudah disuratkan di luh mahfuz awak akan menjadi seorang gadis yang beriman. Bukannya kerana saya” Tuah merendahkan diri. Walaupun sebenarnya hatinya agak berbunga mendengar pujian Diana. Ditahan diri daripada terus asyik tenggelam dalam kata-kata pujian itu.
“Tapi Tuah yang menjadi sarananya. Tuah telah banyak merubah hidup saya. Mana mungkin saya akan lupa pada jasa Tuah. Rasa rendah diri saya hilang dek kerana selalu sahaja mendengar kata-kata tiupan semangat Tuah. Jiwa saya meruntun-runtun mahu berubah kerana nasihat Tuah” Diana menzahirkan rasa penghargaannya kepada Tuah. Sebelum ini hidup dirasakan cukup tidak bermakna kerana dilahirkan sebagai anak luar nikah. Status yang cukup menjijikkan. Tidak ada manusia yang mahu berbangga dengan status itu. Itu simbol kekotoran darah yang mengalir dalam diri peraih gelaran itu. Mana mungkin akan ada manusia yang sedar akalnya mahu darah sucinya digabungkan dengan darah kotor itu. Tidak akan ada. Jauh sekali angan itu. Yang ada hanya, mereka akan dihina, dikeji sepanjang masa. Tidak ada ruang buat mereka di dunia ini. Itulah stigma tetap masyarakat yang mendakwa punyai akal yang geliga. Berbangga dengan kelulusan yang berjela-jela. Pemikiran yang kononnya dibaluti dengan kemajuan tamadun yang tiada tolok bandingannya. Tapi bila membuat perhitungan dalam hal yang memerlukan logik akal dan paduan agama ini, mereka hanyut. Kabur dalam pemikiran lestari mereka itu. Mengambil jalan mudah. Membuat hipotisis yang cukup senang. Semua anak luar nikah dilabelkan sebagai beban kepada masyarakat. Kehadiran mereka dalam masyarakat akan membawa bala bencana. Itulah tanggapan yang paling mudah dicipta oleh mereka.
Lupakah mereka dalam agama sekalipun. Anak luar nikah ini tidak dihukum. Hujahnya cukup rasional. Mudah untuk dihadam oleh logik akal. Mereka tidak akan menanggung dosa, sebaliknya ibu bapa mereka yang akan menangung dosa. Menanti pembalasan di hari sana. Tapi manusia yang berlagak bijak ini pula membuat hukum berdasarkan emosi semata-mata. Barangkali mereka perlu berguru dengan James S. Coleman seorang tokoh Sosiologi yang terkenal dengan Teori Pilihan Rasional. Teori yang menganjurkan manusia berfikir secara rasional, bukannya berdasarkan emosi semata-mata. Beraninya manusia akhir zaman ini melawan hukum yang sudah ditetapkan Pencipta.
Bermula dari detik itu, Tuah dan Diana semakin rapat. Pertemuan mereka sering sahaja menunaskan bunga-bunga cinta. Mereka sering sahaja bersama mengulangkaji di pusat sumber Pusat Pengajian Pembangunan dan Persekitaran Universiti Kebangsaan Malaysia. Namun, hubungan mereka berbatas. Dipaksikan dengan sendi agama yang cukup kukuh. Hari ini Diana sudah pun dilitupi dengan pakaian muslimah sepenuhnya. Diana hari ini sudah pun bertudung. Sudah lancar bertadarus Al-Quran. Selalu menjaga solatnya. Wajah Diana yang dahulu telah lenyap hilang sama sekali. Hilang kegelapan bila mentari cahaya memancarkan sinarnya. Yang ada hari ini Diana baharu. Yang tahu soal batas agama.
“Kejayaan ini harus kita hadiahkan kepada orang yang selalu berada di samping kita sepanjang masa. Menongkat semasa kita goyah. Memimpin tatkala kita kesesatan. Menunjuk arah di masa kita keliru. Demi merekalah kita perlu teruskan perjuangan ini. Perit yang ditempuh akan hilang apabila melihat orang yang hampir dengan kita tersenyum puas dengan kejayaan kita. Rasa berbaloi-balaoi sebagai timbal balasnya. Perit hanya seketika sahaja. Usahlah mudah berputus asa. Ayuh kita teruskan perjuangan yang menuntut segala pengorbanan ini. Sekali melangkah ke medan, berundur tidak sesekali. Biar kecundang dulu. Hidup biarlah dalam kebahagiaan, mati biarlah dalam kemuliaan”. Tuah menghabiskan ucapan di Majlis Jamuan Kesyukuran sempena kejayaan mereka bergelar graduan mengenggam sekeping kertas yang penuh makna. Tercoret pelbagai kisah dalam mengejar sekeping kertas itu. Tepukan gemuruh mengiringi Tuah turun daripada pentas. Matanya sempat menjeling ke arah seorang gadis manis berkurung biru. Bertudung litup. Mengukir senyum dengan dua lesung pipit menghiasi pipi. Ceria sekali wajah itu.
“Kejayaan ini milik kita”

No comments:

Post a Comment