Sunday, September 27, 2009

mana ILHAMKU

Gawat ni...Aduh!, ideaku belum datang lagi. Akal fikirku tidak dapat berfungsi dengan baik lagi. gagal lagi dia belayar ke alam estetika sastera yang indah itu. Kotak fikiranku tidak dapat lagi berinteraksi dengan alam indah itu. Begitu sukar juga mahu menukilkan sebuah cerita ke atas lembaran kertas.Ternyata yang dapat mencoret nukilan di kertas itu, bukan biasa orangnya. Punya istimewa sendiri.
Akal logik ku masih belum membenarkan akal ku bertindak menguasai mata fikir ini. Yang mana satu mahuku. Asalnya aku mahu menganggkat martabat perwira Tuah melalui satu kisah dakwahnya dalam bercinta. Sengaja bercinta dengan perempuan yang ranggi. Dengan tujuan mahu diajaknya perempuan itu ke sinar cahaya.
Tanpa ku sedar pula, datang pula kisah lain yang mahu ku catat. Ilham ini datang ketika aku merayakan sambutan Hari Raya di hospital. Kali ini ku merayakan hari kemenangan di rumah sakit, menemani isteriku yang sudah seminggu tidak tidur malam menjaga ibunya. Kisah anak luar nikah. Semuanya gara-garaku terbaca artikel tentang mereka. 70000 orang lebih anak luar nikah yang didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran. Itu yang berdaftar, Bagaimana pula yang tiada berdaftar? Rasanya mahu sahajaku mengheret Perwira Tuah itu ke kancah alam anak tak sah taraf itu.

TUAH itu.

Semangat kental Tuah itu jitu, tiada yang satu pun dapan menakluki roh perwiranya. sayangnya kepatuhan Tuah pada Sultan terlalu melampau. Asyik dia pada aturan Sultannya. Menjadi sebahagian dari pelengkap Devaraja Sultannya. Menjunjung daulat Tuanku, buruk padah jika diderhakai. Tengok sajalah Jebat, hilang nyawanya di tusuk bisa Taming Sari. Tebal lagi pengaruh Hindu dalam ceritera Tuah yang seorang itu.

Saturday, September 26, 2009

Mengalih semangat TUAH

Tuah, simbolik keperwiraan orang Melayu. kegagahannya jadi sebutan. kadang-kadang akal fikirku sering sahaja mahu merombak deretan lakaran kisah silam Tuah itu, tanpa ku sedar diri ini meronta-ronta mahu mencari erti kepahlawanan Tuah yang sebenar. Taatnya pada Sultan terlalu patuh. keras semangatnya terlalu padu. yea, mungkin inilah pakaian yang selalu menjadi amalan Tuah, pakaian semangat yang keras. tidak mudah putus asa.
Tuah, akan ku bangkitkan kebaikan dalam semangat pahlawan mu itu, mahu hatiku menganggkat kau menjadi seorang si penakluk yang taat. Tuah, kau akan menjadi pendakwahku. gagahkan pencakmu, kukuhkan kekudamu. jitukan dadamu. Kita akan mendepani ribuan mehnah di alam maya yang sudah tebal berselimutkan materialisme dan hedonisme.

Tuah Melaka itu GAGAH, aku Tuah yang KECUNDANG

Berjalannya masa sering sahaja merubah alam. Sekali bah melanda, berubah pantai itu. Deru ombak mengubah tepian putih pasir. Yea, begitu jugalah nasib impianku. Suatu ketika dulu, pernah ku berangan mahu menjadi sasterawan terbilang. Itulah bara semangat yang ku gengam ketika di alam sekolah rendah. Buku-buku cerita sering sahaja jadi temanku saban ketika. Menginjak ke alam sekolah menengah, pucuk citaku mula sedikit berkembang. Kebetulan ketika zamanku itu, ada satu sisipan khas surat Khabar Berita Harian untuk rujukan perwira kecil yang bakal ke medan SPM. SKOR namanya, masih segar lagi nama itu dalam kotak fikiranku.

Kugagahkan jari jemari mematuk papan kekunci computer ibu untuk mengukir sederetan cerpen remaja demi mengejar citaku. Kerana ketika itu ada sayembara Penulisan Cerpen Remaja. Perpaduan temanya di waktu itu. Tapi aku hanya mendapat sebuah buku kecil, himpunan sajak sebagai cenderahati. Ku tinggalkan angan indah dalam khayalan mimpi sahaja.

Bila menjejak kaki kr tingakatan 5, pucuk citaku sudah menjadi daun yang malar hijau. Segar. Secara kebetulan ku berurusan dengan dua orang penulis muda Kelantan. Wanita orangnya. Zanazanzaly dan Rozais Al Anamy nama penanya. Minatku makin bercambah. Pernah mereka membawa aku ke Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur mengikuti seminar Dr. Awang Sariyan dan Datuk Aziz Deraman.

Lantunan dari minatku terhadap bidang sastera ini, cubaku interpretasikan melalui Sayembara Penulisan Puisi Negeri Kelantan. Susah payahku siapkan kertas cadangan untuk mendapatkan kelulusan DBP Wilayah Timur. Surat sokongan dari Puan Rohani, Timbalan Pengarah DBPWT ketika itu betul-betul memberi bekas dalam hati ku. Hati ini begitu berbunga. Mekar sekali.

Ku korbankan segala yang dapat demi merealisasikan citaku ini. Tapi….aku hampa, sekolahku bermain tarik tali. Pihak pengurusan menarik balik kelulusan mengadakan sayembara tersebut. Lebih memedihkan hatiku, mereka menolak tawaran DBPWT untuk membawa Dr. Lee Swee Tin bercerita tentang estetika sasteranya. Perasaan ini tidak dapat digambarkan lagi. Angan yang ku semai hilang begitu sahaja.

Setelah sekian lama tidak berdamping dengan dunia indah sastera, kini aku cuba meletakkan diri yang lemah ini ke dalam arus yang laju mengalir. Ku harapkan semangatku bertmbah kental. Biarlah tidak dapat menjadi sasterawan yang hebat. Cukup sekadar jika aku menjadi sasterawan biasa yang dapat memberikan bekas kepada masyarakat.

Betul ke Tuah PERWIRA

TUAH!!!
Datuk Laksamana Hang Tuah!!!
Kepahlawananmu sering sahaja meniti dari bibir ke bibir. Kau memang seorang pahlawanan yang berpegang teguh pada paksi resam Melayu. Menjulang kedaulatan serta ketaatan pada Sultan. Tidak ada lagi catatan sejarah Melayu yang mengisahkan pahlawan yang lebih ulung daripadamu Datuk Hang Tuah.

Ketaatan mu yang terlalu amat menjadi sebutan setiap generasi yang membaca kisahmu. Betapa kau telah mengukir kisah yang cukup tiada tandingnya. Kau sentiasa berpencak hebat dengan Keris Taming Sari yang tersisip rapi di belikatmu. Kau menjadi gagah. Malah dikisahkan juga kau menjadi kebal dengan keris itu. Kau juga hanya dapat membunuh Jebat setelah memegang keris itu. Hebatnya kau. Tapi setahuku Islam telahpun lama tiba ketika kau bergelar Datuk Laksamana Hang Tuah, hamba Sultan yang begitu taat.

Lantas akal dangkalku selalu terfikir, layakkah kau digelar perwira. Ku merasakan Datuk juga sedar tentang agama kita. Atau mungkin Datuk lebih arif daripadaku. Siapa tahu. Dan semua orang tahu, kisah perjuangan Anbia kita terlebih dahului menghiasi sejarah peradaban hidup manusia. Nabi Zakaria menjadi korban kaumnya. Syahid demi agamaNya. Tidak terhitung kisah perjuangan Anbia dahulu yang menjadi korban. Tapi Datuk, cukup hebat. Tak lut dek keris. Tak berbekas dek lembing. MENAKJUBKAN. Manusia yang menjadi keagungan dunia. Pujaan seluruh alam. Kekasih Ilahi, Nabi Muhamad itu patah giginya ketika berperang. Luka badannya di medan. Itu kekasih Yang Esa. Siapakah Datuk yang menjadi begitu hebat berbanding Rasul junjungan kita?

Tahukah sebelum zaman Datul dulu, sudah ada pahlawan yang begitu hebat, malah lebih agung daripada Datuk. Lebih lagi. ASADULLAH gelarannya Datuk. Singa Allah. Ketangkasannya bertempur menjadi kegerunan musuh dan lawan. Sudahnya Singa Allah itu gugur di medan. Malah dadanya dibelah lawan. Hatinya diceraikan daripada badan. Tapi Datuk hebat. Datuk kebal. Tahukah Datuk tentang Khalifah Umar? Manusia paling garang sebelum dan selepas Islamnya. Sehinggakan Syaitan pun tidak akan melalui jalan yang dilalui oleh Khalifah itu. Tapi tumbang juga jasadnya bila ditikam ketika sedang bersolat. Tapi Datuk. Hebat lagi. Mana ada senjata yang dapat menembusi kulit Datuk.

Lalu akalku cuba menjdi rasional. Wujudkah Datuk ini. Jikalau Datuk memang ada, alangkah malangnya alam Melayu. Keperwiraan Datuk jadi sanjungan. Yang penting dalam hidup kita agama Datuk. Agama. Jika sisi pandangan agama digunakan, Datuk tidak layak menjadi model. Sebetulnya tidak layak.

Mungkin kata-kataku ini akan melukan hati Datuk. Membangkitkan amarah pemuja Datuk. Tapi Datuk, itu semua fatamorgana, kerana hidup kita ini ada pengakhirannya. Selanjutnya ada pembalasan. Baik lakunya, baik lah balasnya. Dosa pahala menjadi panduan senjata kita, bukannya Keris Taming Sari.

Wednesday, September 16, 2009

Bicara Mula

Meniti tajam pedang yang selalu menikam waktu.