Saturday, September 26, 2009

Betul ke Tuah PERWIRA

TUAH!!!
Datuk Laksamana Hang Tuah!!!
Kepahlawananmu sering sahaja meniti dari bibir ke bibir. Kau memang seorang pahlawanan yang berpegang teguh pada paksi resam Melayu. Menjulang kedaulatan serta ketaatan pada Sultan. Tidak ada lagi catatan sejarah Melayu yang mengisahkan pahlawan yang lebih ulung daripadamu Datuk Hang Tuah.

Ketaatan mu yang terlalu amat menjadi sebutan setiap generasi yang membaca kisahmu. Betapa kau telah mengukir kisah yang cukup tiada tandingnya. Kau sentiasa berpencak hebat dengan Keris Taming Sari yang tersisip rapi di belikatmu. Kau menjadi gagah. Malah dikisahkan juga kau menjadi kebal dengan keris itu. Kau juga hanya dapat membunuh Jebat setelah memegang keris itu. Hebatnya kau. Tapi setahuku Islam telahpun lama tiba ketika kau bergelar Datuk Laksamana Hang Tuah, hamba Sultan yang begitu taat.

Lantas akal dangkalku selalu terfikir, layakkah kau digelar perwira. Ku merasakan Datuk juga sedar tentang agama kita. Atau mungkin Datuk lebih arif daripadaku. Siapa tahu. Dan semua orang tahu, kisah perjuangan Anbia kita terlebih dahului menghiasi sejarah peradaban hidup manusia. Nabi Zakaria menjadi korban kaumnya. Syahid demi agamaNya. Tidak terhitung kisah perjuangan Anbia dahulu yang menjadi korban. Tapi Datuk, cukup hebat. Tak lut dek keris. Tak berbekas dek lembing. MENAKJUBKAN. Manusia yang menjadi keagungan dunia. Pujaan seluruh alam. Kekasih Ilahi, Nabi Muhamad itu patah giginya ketika berperang. Luka badannya di medan. Itu kekasih Yang Esa. Siapakah Datuk yang menjadi begitu hebat berbanding Rasul junjungan kita?

Tahukah sebelum zaman Datul dulu, sudah ada pahlawan yang begitu hebat, malah lebih agung daripada Datuk. Lebih lagi. ASADULLAH gelarannya Datuk. Singa Allah. Ketangkasannya bertempur menjadi kegerunan musuh dan lawan. Sudahnya Singa Allah itu gugur di medan. Malah dadanya dibelah lawan. Hatinya diceraikan daripada badan. Tapi Datuk hebat. Datuk kebal. Tahukah Datuk tentang Khalifah Umar? Manusia paling garang sebelum dan selepas Islamnya. Sehinggakan Syaitan pun tidak akan melalui jalan yang dilalui oleh Khalifah itu. Tapi tumbang juga jasadnya bila ditikam ketika sedang bersolat. Tapi Datuk. Hebat lagi. Mana ada senjata yang dapat menembusi kulit Datuk.

Lalu akalku cuba menjdi rasional. Wujudkah Datuk ini. Jikalau Datuk memang ada, alangkah malangnya alam Melayu. Keperwiraan Datuk jadi sanjungan. Yang penting dalam hidup kita agama Datuk. Agama. Jika sisi pandangan agama digunakan, Datuk tidak layak menjadi model. Sebetulnya tidak layak.

Mungkin kata-kataku ini akan melukan hati Datuk. Membangkitkan amarah pemuja Datuk. Tapi Datuk, itu semua fatamorgana, kerana hidup kita ini ada pengakhirannya. Selanjutnya ada pembalasan. Baik lakunya, baik lah balasnya. Dosa pahala menjadi panduan senjata kita, bukannya Keris Taming Sari.

No comments:

Post a Comment