Saturday, September 26, 2009

Tuah Melaka itu GAGAH, aku Tuah yang KECUNDANG

Berjalannya masa sering sahaja merubah alam. Sekali bah melanda, berubah pantai itu. Deru ombak mengubah tepian putih pasir. Yea, begitu jugalah nasib impianku. Suatu ketika dulu, pernah ku berangan mahu menjadi sasterawan terbilang. Itulah bara semangat yang ku gengam ketika di alam sekolah rendah. Buku-buku cerita sering sahaja jadi temanku saban ketika. Menginjak ke alam sekolah menengah, pucuk citaku mula sedikit berkembang. Kebetulan ketika zamanku itu, ada satu sisipan khas surat Khabar Berita Harian untuk rujukan perwira kecil yang bakal ke medan SPM. SKOR namanya, masih segar lagi nama itu dalam kotak fikiranku.

Kugagahkan jari jemari mematuk papan kekunci computer ibu untuk mengukir sederetan cerpen remaja demi mengejar citaku. Kerana ketika itu ada sayembara Penulisan Cerpen Remaja. Perpaduan temanya di waktu itu. Tapi aku hanya mendapat sebuah buku kecil, himpunan sajak sebagai cenderahati. Ku tinggalkan angan indah dalam khayalan mimpi sahaja.

Bila menjejak kaki kr tingakatan 5, pucuk citaku sudah menjadi daun yang malar hijau. Segar. Secara kebetulan ku berurusan dengan dua orang penulis muda Kelantan. Wanita orangnya. Zanazanzaly dan Rozais Al Anamy nama penanya. Minatku makin bercambah. Pernah mereka membawa aku ke Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur mengikuti seminar Dr. Awang Sariyan dan Datuk Aziz Deraman.

Lantunan dari minatku terhadap bidang sastera ini, cubaku interpretasikan melalui Sayembara Penulisan Puisi Negeri Kelantan. Susah payahku siapkan kertas cadangan untuk mendapatkan kelulusan DBP Wilayah Timur. Surat sokongan dari Puan Rohani, Timbalan Pengarah DBPWT ketika itu betul-betul memberi bekas dalam hati ku. Hati ini begitu berbunga. Mekar sekali.

Ku korbankan segala yang dapat demi merealisasikan citaku ini. Tapi….aku hampa, sekolahku bermain tarik tali. Pihak pengurusan menarik balik kelulusan mengadakan sayembara tersebut. Lebih memedihkan hatiku, mereka menolak tawaran DBPWT untuk membawa Dr. Lee Swee Tin bercerita tentang estetika sasteranya. Perasaan ini tidak dapat digambarkan lagi. Angan yang ku semai hilang begitu sahaja.

Setelah sekian lama tidak berdamping dengan dunia indah sastera, kini aku cuba meletakkan diri yang lemah ini ke dalam arus yang laju mengalir. Ku harapkan semangatku bertmbah kental. Biarlah tidak dapat menjadi sasterawan yang hebat. Cukup sekadar jika aku menjadi sasterawan biasa yang dapat memberikan bekas kepada masyarakat.

No comments:

Post a Comment